Wednesday, September 15, 2010

1957, HATI MALAYA.

Filem terbaru arahan Shuhaimi Baba, 1957,hati malaya merupakan sebuah karya perfileman Melayu yang berupaya mengangkat darjat serta mempunyai pencapaian yang tersendiri. Untuk pertama kalinya, saya ingin memberikan sekalung ucapan tahniah dan penghargaan yang sewajarnya harus diberikan kepada pengarah filem melayu ini.

Hati Malaya bergerak dari jalan cerita berkaitan empat orang rakan, iaitu Salmi, Hali, Ani dan Rafik (Lakonan Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani dan Adlin Aman Ramli) yang bertungkus lumus mendapatkan bahan untuk menerbitkan sebuah memoir kemerdekaan bertajuk 1957, Hati Malaya.Sepanjang perjalanan skop ini, penonton akan dibawa menyelami apa yang berlaku sepanjang detik awal tanah melayu cuba mendapatkan kemerdekaan dari campur tangan British. Ianya memaparkan segala kesukaran dan susah payah bagaimana kemerdekaan ingin dicapai.

Sebenarnya, di dalam Hati Malaya, saya tertarik kepada satu perkara. Perkara yang menjadi faktor utama dalam sesebuah filem. Watak. Bagi watak lakonan Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani dan Adlin Aman Ramli, tidak perlu saya sentuh di sini. Watak mereka sama seperti lakonan mereka dalam penerbitan sebelum ini. Tetapi, dua watak utama yang cukup menonjolkan dan memberikan kesan ialah Tunku Abdul Rahman (lakonan Kamarulzaman Taib) dan Onn Jaafar (lakonan Zaefrul Nordin). Saya berani kata, inilah watak yang mampu memberikan emosi kepada penonton.

Jika di Hollywood, bagi watak parodi seperti ini, mereka akan memilih pelakon yang hampir serupa dan dengan teknik mekap khas, pelakon tersebut akan menyerupai seperti watak asal. Di sini mungkin teknologi kesan khas itu agak sukar didapati, tetapi Shuhaimi Baba dan tenaga produksi cukup berjaya memberikan hasil yang sama kepada penonton sinema Malaysia.

Bagi saya filem ini wajar ditontonkan terutama kepada golongan muda kerana filem ini dapat menaikkan semagat cintakan negara dan menghargai pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memerdekakan negara.